Setelah dua tahun berlumba tanpa penonton yang hadir ke litar, semalam 26 Jun 2022, Festival Pelumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia mula menerima semula pengunjung, bukan sahaja untuk menyaksikan perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge untuk musim kelim

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 1; aksi sengit dalam cuaca panas!

Setelah dua tahun berlumba tanpa penonton yang hadir ke litar, semalam 26 Jun 2022, Festival Pelumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia mula menerima semula pengunjung, bukan sahaja untuk menyaksikan perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge untuk musim kelima pusingan kedua, malah untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk konsert kumpulan rock tempatan iaitu Bunkface.

Seperti biasa, siri perlumbaan Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Dan untuk Race 1 yang berlangsung semalam masih memberikan aksi sengit dari semua pelumba dalam setiap kategori. Perlumbaan pusingan kedua ini masih dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang.

Kategori Super Sporting

Selepas tidak dapat dapat berlumba di pusingan pertama Mac lalu kerana masalah kesihatan, Tengku Djan Ley kembali ke pusingan kedua dan berada di grid keempat ketika perlumbaan dimulakan. Walau bagaimanapun insiden yang berlaku di pusingan pertama di mana dia tidak dapat mengelak jentera yang dipandu oleh Eddie Liew yang berpusing menyebabkan suspensi hadapannya rosak teruk dan terpaksa menamatkan perlumbaan.

Race 1 ini jelas didominasi oleh rakan sepasukan Tengku Djan dalam pasukan Prima Pearl TD Racing Team iaitu Mitchell Cheah yang terus berada di hadapan dari mula hingga tamat 20 lap perlumbaan. Walaupun satu ketika dia diasak dengan begitu agresif oleh Mark Darwin dari pasukan Laser Motor Racing, Mitchell berada 2.1 saat di hadapan Mark ketika bendera penamat dikibarkan.

Dalam kelompok kedua pula menyaksikan persaingan sengit antara dua pelumba muda iaitu Hayden Haikal dan Freddie Ang untuk merebut podium tempat ketiga perlumbaan ini. Namun Ang yang bermula di grid keenam berjaya memintas Hayden dan kekal di kedudukan ketiga sehingga tamat perlumbaan.

“Keadaan adalah sangat sukar hari ini kerana suhu panas. Saya hanya fokus dengan tugas saya untuk melakukan yang terbaik untuk mengelak sebarang kesilapan. Secara jujurnya agak sukar untuk bertarung dengan Darwin kerana tekanan yang diberikan,” kata Cheah.

Kategori Sporting

Perlumbaan untuk kelas amatur ini terpaksa dihentikan dan direhatkan selama 15-minit seawal lap pertama kerana insiden yang membabit tiga kereta. Selepas ia dimulakan semula, dua tempat teratas nampak tidak berubah dari mula sehingga ke akhir perlumbaan, menyaksikan pelumba muda pasukan Axle Motorsport, Naquib Azlan berjaya mendapat tempat pertama.

Naquib meninggalkan Tom Goh dari pasukan S&D Tama 2.3 saat di belakang, manakala Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors berjaya memintas Bradley Benedict Anthony dari pasukan Crestmax Motorsport pada lap terakhir untuk berada di tempat ketiga.

“Pertama sekali saya gembira kerana semua pelumba selamat dan tidak cedera dalam insiden tersebut. Untuk saya agak bersyukur ketika perlumbaan dimulakan semula kerana ia dipendekkan lebih dari yang saya jangka dan saya tidak perlu terlalu bertahan,” kata Naquib.

Manakala Abdul Miqail yang baru sahaja berumur 16-tahun dan merupakan antara pelumba termuda yang bertanding dalam Vios Challenge musim ini jelas gembira dengan kedudukan podium pertamanya. “Vios Challenge telah banyak membantu dalam membangunkan saya sebagai pelumba kerana perlumbaan ini sangat sengit dan anda perlu sentiasa jitu. Ini terus memotivasikan saya untuk mengejar pemandu di kelompok hadapan,” katanya.

Kategori Rookie

Dalam kategori ini menyaksikan pelumba simulator, Nabil Azlan merangkul tempat pertama buat kali kedua musim ini. Nabil diekori rapat oleh Muizz Musyafa yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Muhammad Hamdany pula berada di tempat ketiga. Perlumbaan ini juga merupakan kali kedua Muizz naik ke podium dan kali ketiga untuk Hamdany.

“Ini bukan perlumbaan yang mudah buat saya kerana Muizz berada di belakang. Ia sangat sukar dan saya hanya perlu kekalkan rentak yang baik. Suhu tinggi juga membebankan tayar petang ini dan memerlukan saya sentiasa menukar titik membrek untuk masuk ke selekoh,” kata Nabil.

Hamdany turut gembira dengan konsistensinya pada perlumbaan kali ini. “Saya rasa hebat. Hari ini agak baik dan saya boleh terus mengekori pendahulu perlumbaan sepanjang perlumbaan. Namun dengan keadaan yang semakin panas, saya mula hilang banyak masa dan saya tak dapat masuk ke selekoh dengan baik. Saya kini mensasarkan untuk mendapatkan empat untuk empat (4 perlumbaan dan 4 podium) dalam Race 2 esok,” kata Hamdany.

Kategori Promotional

Sekali lagi Zizan Razak menunjukkan prestasi yang mengkagumkan dalam kategori ini. Dia meninggalkan Nabil Ahmad di tempat kedua 12 saat di belakang setelah tamat perlumbaan 18-lap tersebut. Manakala Ahirine Ahirudin pula berjaya naik ke podium setelah berjaya memperolehi tempat ketiga.

Namun malang untuk Shukri Yahaya, dia melakukan kesilapan ‘jump start’ ketika memulakan perlumbaan, dan kemudian memperlahankan keretanya dan memberikan peluang kepada pelumba lain untuk memintas kerana keliru apa yang perlu dilakukan. Dia kemudiannya berjaya mengejar kembali untuk berada di tempat kedua, namun kemudian menerima hukuman dengan hilang kelayakan dalam perlumbaan ini.

“Sejujurnya saya rasa agak keliru. Selepas melakukan jumpstart pada perlumbaan saya berasa tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan saya mula memperlahankan kereta dan membiarkan semua orang memintas saya dan memulakan perlumbaan dari belakang. Saya rasa itu merupakan perkara terhormat yang perlu saya lakukan dan kemudian mula mengejar pelumba di hadapan saya satu persatu. Saya tidak sedar bahawa saya sebenarnya sudah hilang kelayakan. Ia sememangnya salah saya dan saya berharap untuk menebusnya di Race 2,” kata Shukri.

Perlumbaan Race 2 untuk Vios Challenge pusingan kedua musim kelima akan berlangsung hari ini. Hari kedua festival berkenaan akan dimulakan dengan acara All-Wheel Fest pada sebelah pagi di mana anda boleh mengelilingi laluan litar sepanjang 2.7 km tersebut menggunakan apa sahaja kenderaan tanpa motor seperti basikal, papan luncur, skuter tolak dan sebagainya.

Sesi Zumba, pump ramp serta pertandingan dan kelas papan luncur juga akan diadakan, manakala pada sebelah petang akan berlangsung konsert yang menampilkan penyanyi dari Indonesia iaitu Judika. Pelbagai reruai jualan, promosi dan aktiviti turut disediakan untuk pengunjung, bersama kawasan trak makanan yang menyediakan pelbagai sajian tempatan.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk datang ke Litar Antarabangsa Sepang hari ini, anda boleh menonton aksi-aksi Race 2 secara langsung di atas talian di laman rasmi UMW Toyota Motor pada PAUTAN INI dan juga di laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia.



Source link

Leave a Reply